Cuba tanya diri kita, apa perasaan diri kita apabila melihat gambar seperti ini?


Orang islam yang masih ada iman di hatinya,sudah pasti berasa marah dan geram apabila melihat gambar ini. Saya juga berasa marah, dan sangat geram kepada sesiapa yang sanggup melakukan seperti ni.


Kenapa mereka berani buat sedimikian?


Jawapan mudahnya adalah kerana kita sudah menjadi lemah. Orang Islam pada zaman dahulu pernah memerintah 2/3 dunia, bukankah itu suatu bukti bahawa sebenarnya orang islam itu sebenarnya kuat dan mampu menggerunkan musuh-musuh islam. Itu bermaksud bukan mereka yang telah menjadi kuat, tapi oleh kerana kita yang menjadi semakin lemah. Kita sebenarnya kuat tapi kita memilih untuk menjadi lemah.


Apakah puncanya kita menjadi lemah?


Punca utama kenapa kita menjadi lemah adalah kerana kebanyakan daripada kita pada zaman sekarang sudah lagi tiada semangat untuk mempertahankan islam. Umat islam sekarang sudah tidak ada semangat lagi untuk menjadikan islam itu sebagai suatu kebanggaan di dalam diri mereka.


Kenapa umat islam sudah tiada semangat lagi seperti dulu?


Ini berkaitan dengan masalah hati. Hati itu adalah sumber semangat bagi seseorang manusia. Hati itu adalah sumber motivasi bagi seseorang manusia dan sumber yang akan menggerakan anggota badan yang lain. Mari kita lihat apa kata nabi dalam hadisnya:



Rasullah S.A.W pernah bersabda:

Sesungguhnya di dalam tubuh anak Adam itu terdapat segumpal daging. Jika ia
baik,maka baiklah seluruh anggota tubuhnya. Jika ia buruk, maka buruklah seluruh anggota tubuhnya. Maka itulah hati."



Semangat atau dorongan untuk melakukan sesuatu yang baik mestilah datang daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan dorongan yang tinggi terhadap kebaikan. Hati yang buruk akan melahirkan dorongan yang tinggi terhadap keburukan.

Kita lihat pada masa kini, umat islam sekarang sudah tidak ramai yang menjaga hati. Apakah yang dimaksudkan dengan menjaga hati itu?

Menjaga hati itu bermaksud menjaga hati itu daripada dipenuhi dengan dosa-dosa sama ada dosa itu kecil atau besar. Ingatlah , bahawa dosa itu mampu melemahkan hati kita daripada mempunyai semangat atau dorongan yang baik. Bagaimana?

Dosa-dosa yang kita lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja, tanpa kita sedari dosa-dosa itu akan menutupi setiap pelusuk hati kita dengan perlahan-perlahan. Lama-kelamaaan, hati kita akan dipenuhi dengan dosa. Cahaya dan hidayah Allah pasti susah datang pada hati kita. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya sudah jauh dengan hidayah dan cahaya Allah.

Kesan buruk yang akan berlaku pada diri kita adalah semangat untuk melakukan kebaikan pasti akan merudum begitu sahaja. Ia juga boleh menjadi punca utama kenapa ramai pejuang islam gugur dan futur daripada medan perjuangan islam.

Kesan yang buruk lain ialah kita sukar untuk menggerakkan kebaikan di sekeliling kita.

Apakah cara untuk mendapatkan semangat itu kembali jika kita berasa lemah?

Pernah ada seorang anak usrah saya, datang kepada saya meluahkan kepada saya bahawa dia rasa macam makin lemah semangat untuk melakukan kebaikan. Saya memberikan nasihat "Abg tidak mampu untuk beri semangat yg baik pada hang, hanya Allah sahaja yg boleh beri semangat.sumber segala kekuatan adalah Allah. abg hanya boleh memberitahu cara untuk mendapatkannya"

Caranya adalah dengan membersihkan hati kita dan kembali bertaubat kepada Allah. Muhasabahlah diri kita , apakah dosa kecil atau dosa besar yang kita telah lakukan terhadap Allah. insyallah , hati kita akan menjadi semakin bersih dan semangat untuk melakukan kebaikan pasti akan datang kembali dengan izin Allah.


Rasullah S.A.W telah bersabda:" Seorang mukmin apabila dia telah melakukan
dosa,maka muncullah bintik hitam di dalam jiwanya. Apabila dia bertaubat dan
menghentikan dosanya serta beristighfar, maka hilanglah bintik hitam
itu. sekiranya dia meneruskan perbuatan dosanya, maka bertambahlah bintik
hitam itu di hatinya, sehingga tertutup seluruh hatinya." Hadis riwayat
Baihaqi

Kesimpulan

Kita mesti sentiasa perlu menjaga hati mereka daripada melakukan dosa kecil atau dosa besar untuk memastikan semangat atau dorongan yang baik sentiasa ada dalam diri kita. Ingatlah, syaitan tidak pernah berputus asa menghasut kita daripada melakukan dosa kecil atau besar.

Jika kita sentiasa menjaga hati kita, insyallah kita akan sentiasa mempunyai semangat atau dorongan untuk melakukan kebaikan. Kita akan sentiasa berasa bersemangat untuk memperjuangkan islam dan menjadikan islam itu suatu kebanggaan buat diri kita.

Lama-kelamaan ,insyallah dan dengan izin Allah , kita selaku umat islam yang sangat ramai di dunia kita akan menjadi kuat kembali dan mampu memerintah dunia kembali.

Mari sama2 kita jayakannya. Kemenangan islam itu pasti. Apa lagi,jom kita bersama-sama jayakannya.!